SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad kekal dengan pendirian untuk meletak jawatan dalam Kabinet meskipun kerajaan masih memberi ruang kepada dirinya untuk menyambung tugas.
Nik Nazmi berkata, keputusan yang dibuat berdasarkan pertimbangan lebih besar.
"Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas.
"Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan," katanya menerusi Facebook pada Selasa.
**media[3168274]**
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ketika menjawab mengenai status Nik Nazmi dalam Kabinet memaklumkan, tempoh cuti bekas bekas Naib Presiden PKR itu akan tamat dalam minggu ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan kerajaan masih memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk menyambung tugasnya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi menerusi hantaran sama turut memetik kata-kata Jurgen Klopp ketika mengumumkan pengunduran sebagai pengurus Liverpool, bagi menggambarkan situasi yang sedang dihadapi beliau.
"Saya cinta sepenuhnya kelab ini... Tapi apabila saya tetap buat keputusan ini, ia menunjukkan betapa saya yakin inilah yang perlu saya lakukan.
"Itulah perasaan saya,” katanya.
Sebelum itu, beliau berkongsi pertemuan bersama Pengerusi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) , Shareen Abdul Ghani ketika sedang mengemas pejabatnya minggu lalu.
"Selepas kami duduk di sofa Pejabat Menteri, beliau bertanya, ‘Ada peluang lagi kami yakinkan YB untuk ubah fikiran?'
"Saya cuma tersenyum dan memandang ke sekeliling pejabat. Shareen mengikut pandangan mata saya - melihat rak-rak kosong yang sebelum ini sarat dengan buku, dinding-dinding kosong yang pernah digantung pelbagai gambar, lukisan (dan jersi)," katanya.
Tambah beliau, bukan mudah untuk meninggalkan kementerian itu.
"Selepas dua tahun, saya anggap pasukan di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), jabatan dan agensi dah mencapai tahap 'dream team' - dengan komitmen, kebolehan dan kewibawaan yang luar biasa," katanya.
Nik Nazmi turut mengimbas penglibatannya dalam sesi dialog bersama MGTC sebelum ini, yang bertujuan menjawab secara telus kebimbangan berkenaan hala tuju agensi tersebut.
“Semoga MGTC terus menerajui implementasi agenda perubahan iklim ke arah matlamat Sifar Bersih 2050,” katanya.